Fasal 10 : Adab Sembahyang Bagi Imam Dan Makmum.
Adab bagi imam dan makmum itu dua puluh lima perkara:
1. Sepatutnya imam itu meringankan sembahyangnya, yakni jangan dilambatkan perbuatan sembahyangnya. Kata Anas yang diredhai Allah, ertinya : “Tiada aku sembahyang di belakang seseorang yang lebih ringan sembahyang dan tiada yang lebih sempurna daripada Rasulullah s.a.w.”
2. Imam jangan melakukan takbiratul-ihram melainkan setelah selesai daripada iqamat dan selesai meratakan saf.
3. Imam hendaklah menyaringkan suaranya pada ketika takbir supaya didengar oleh makmum.
4. Makmum jangan menyaringkan suaranya melainkan sekadar didengar oleh dirinya.
5. Imam sepatutnya berniat menjadi imam supaya dapat fadhilat berjamaah.
6. Sunat bagi imam memperlahankan doa iftitah dan taawuz demikian juga sunat memperlahankannya bagi orang yang sembahyang sendirian.
7. Sunat bagi imam menyaringkan suaranya pada membaca Fatihah dan surah, pada dua rakaat Subuh, dan dua rakaat yang pertama pada sembahyang Maghrib dan Isyak. Dan demikian juga pada sembahyang bersendirian.
8. Sunat bagi imam dan makmum dan bagi orang yang sembahyang bersendirian menyaringkan “amin” pada sembahyang yang nyaring.
9. Sunat disertakan “amin” makmum dengan “amin” imamnya, jangan terdahulu dan jangan terkemudian kerana Nabi s.a.w. bersabda yang ertinya: “Apabila imam mengucapkan “amin” maka hendaklah kamu turut mengucapkan “amin”, maka sesiapa yang sepakat “aminnya” dengan “amin” malaikat, nescaya diampunkan dosanya yang terdahulu.”
10. Sunat bagi imam diam sedikit selepas membaca Fatihah, supaya dapat bernafas dan sunat bagi makmum pada tempat diam itu, membaca Fatihah pada sembahyang yang nyaring.
11. Tiada sunat bagi makmum membaca surah bagi sembahyang yang nyaring, melainkan jika makmum itu tiada mendengar bacaan imamnya. Maka ketika itu sunat baginya membaca surah.
12. Sunat bagi imam tidak melebihkan tasbih rukuk daripada tiga kali.
13. Sunat bagi imam tidak melebihkan tasyahud awal selepas katanya : Allahumma solli’ala muhammad.
14. Hendaklah membaca Fatihah sahaja pada dua rakaat yang akhir.
15. Imam janganlah melanjutkan sembahyangnya jika makmum tidak meredhai yang demikian itu.
16. Sunat bagi imam tidak melebihi doa yang di dalam tasyahud akhir bagi sekurang-kurang tasyahud dan selawat ke atas Nabi s.a.w.
17. Sunat bagi imam ketika memberi salam meniatkan salam itu kepada sekalian makmum.
18. Sekalian makmum hendaklah meniatkan ketika memberi salam itu bagi menjawab salam imamnya.
19. Sunat bagi imam berhenti sekejap pada tempat sembahyangnya selepas salam itu.
20. Sunat bagi imam ketika berhenti itu mengubah kedudukannya, menjadikan kanannya kepada makmum dan kirinya kepada mihrab.
21. Sunat bagi makmum jangan bangkit melainkan selepas bangkit imamnya. Dan sunat bagi imam dan makmum bangkit pada pihak hajatnya, sama ada pihak kanan atau kiri. Maka jika tiada sesuatu hajat baginya maka sunat ia bangkit pada pihak kananya.
22. Imam janganlah menentukan doa dalam qunut Subuh itu bagi dirinya, atau qunut witir pada separuh akhir pada bulan Ramadan dan hanya sesungguhnya sunat dibacanya pada ganti nama ramai (Dhamir jami’).
23. Makmum jangan berdiri seorang diri keluar dari saf, kerana yang demikian itu menghilangkan pahala berjamaah, tetapi sunat masuk ke dalam saf atau ditariknya seorang yang di dalam saf itu kepadanya selepas ia bertakbiratul-ihram.
24. Sunat bagi makmum yang ditarik itu mengikut orang yang menariknya supaya ia menolong bagi menghasilkan pahala berjamaah.
25. Makmum jangan mendahului atau menyamai perbuatan imamnya, tetapi sunat bagi makmum itu mengkemudiankan sekalian perbuatanya daripada perbuatan imamnya, seperti ia jangan rukuk melainkan apabila imam sampai kepada sekurang-kurang rukuk, dan makmum jangan sujud melainkan apabila imam sampai kepada sekurang-kurang sujud dan sekurang-kurang sujud itu ialah dahi sampai ke tempat sujud.
WALLAHUA'LAM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan